Wednesday, 26 September 2012

PERMAINAN KECIL - PUKUL LALAT




Tujuan permainan :
  • Berlari dalam bulatan sambil mengejar dan memukul pemain lain dengan sapu tangan.
Senarai keperluan :
  1. Bahan : Sapu tangan.
  2. Bilangan pemain : Tidak terhad.
Cara bermain :
  1. Kanak-kanak membuat satu bulatan. Kemudian duduk mencangkung ke arah dalam bulatan.
  2. Seorang kanak-kanak di minta keluar secara sukarela ataupun dipilih untuk membawa sapu tangan.
  3. Pemain yang dipilih akan berdiri di luar bulatan sambil memegang sapu tangan.
  4. Pemain akan meletakkan sapu tangan itu dibelakang sesiapa sahaja yang berada di bulatan tanpa disedari. Orang itu dikenali sebagai mangsa.
  5. Pemain lain perlu sentiasa peka dan bersedia meraba belakang bagi memastikan sama ada sapu tangan berada dibelakang atau tidak.
  6. Apabila pemain B dapat menyentuh sapu tangan yang terdapat dibelakangnya, maka ia perlu segera bangun dan lari mengejar A sambil memukulnya.
  7. Pemain A pula perlu mencari tempat duduk secepat mungkin sebelum dapat dipukul oleh pemain B.
  8. Jika A belum sempat mencari tempat duduk dan terkena sapu tangan, maka A sekali lagi akan berlari mengelilingi bulatan semula sementara B akan duduk ditempat asal.
  9. Sebaliknya jika A berjaya mencari tempat duduk, B akan berpusing sekali lagi untuk meletakkan sapu tangan di belakang pemain lain.

KERUSI BERIRAMA



Tujuan permainan :
  • Pemain akan merebut kerusi apabila muzik berhenti.
Senarai keperluan :
  1. Bahan : Kerusi, Radio
  2. Bilangan pemain : Tidak terhad
Cara bermain :
  1. Kerusi akan disusun membentuk bulatan.
  2. Radio akan dimainkan sepanjang permainan dan akan ditamatkan berperingkat-peringkat.
  3. Pemain akan bergerak mengelilingi kerusi apabila muzik dimainkan.
  4. Pemain hendaklah lebih bilangannya daripada bilangan kerusi.
  5. Apabila muzik dihentikan, pemain akan segera merebut kerusi untuk duduk.
  6. Bagi pemain yang tidak mendpat tempat duduk, akan dikira mati dan hendaklah keluar daripada permainan.
  7. Permainan diteruskan sehingga tinggal 1 kerusi untuk direbut.

IBU AYAM DI KEJAR MUSANG



Senarai keperluan :
  • Bilangan pemain : Tidak terhad tetapi mesti lebih daripada 5 orang.
  • Bahan : Topeng muka.
  • Tempat : Kawasan lapang.
Cara bermain :
1. Ibu ayam akan meminta kunci rumah pada musang..
2. Selepas musang memberi kunci, ibu dan anak ayam pergi bersiar-siar.
3. Tiba-tiba kunci rumah hilang, ibu ayam pergi mencari musang untuk meminta kunci lagi.
4. Musang marah dan ingin seekor anak ayam sebagai ganti..
5. Musang merebut anak ayam yang berlindung di belakang ibu mereka.
6. Ibu ayam hendaklah menjaga anak-anaknya daripada direbut oleh musang.
7. Permainan tamat apabila musang dapat tangkap anak ayam.. 



NENEK-NENEK SI BONGKOK TIGA


Tujuan permainan :
  • Pemain yang matanya ditutup akan mencari pemain lain dan cuba meneka namanya.
Senarai keperluan :
  1. Bilangan pemain : Tidak terhad dan mesti lebih daripada empat orang. Lebih ramai lebih baik.
  2. Bahan :  
  • Lagu ' nenek, nenek, si bongkok tiga'.
  • Sehelai sapu tangan atau kain penutup mata.
  • Sebatang kayu sebagai tongkat.
  • Tempat : Kawasan lapang di dalam ataupun diluar rumah.
Peraturan :
  1. Penutup mata 'nenek' tidak boleh dibuka semasa meneka nama pemain.
  2. Pemain yang ditangkap tidak boleh melarikan diri semasa 'nenek' menekanya.
  3. Jika 'nenek' meneka nama pemain dengan betul, pemain itu akan jadi ganti 'nenek'.
  4. Pemain lain tidak dibenarkan memberitahu nama pemain yang ditangkap oleh 'nenek'.
Cara bermain :
  1. Pilih seorang pemain menjadi 'nenek'.
  2. Mata 'nenek' ditutup dengan sapu tangan atau kain penutup mata.
  3. Pemain lain membuat bulatan sambil berpegang tangan.
  4. 'Nenek' memegang tongkat dan berada di tengah bulatan.
  5. Pemain menyanyikan lagu sambil mengelilingi 'nenek'.
  6. Semasa pemain mengelilingi nenek sambil menyanyi, nenek hanya berdiam diri sambil menggerakkan tongkat dan membongkok-bongkok badan beraksi seperti orang tua.
  7. Selepas selesai menyanyi, pemain duduk mencangkung dan mendiamkan diri.
  8. 'Nenek' pula menyanyikan lagu.
  9. 'Nenek' akan meraba-raba mencari dan cuba menangkap pemain lain.
  10. 'Nenek' kena meneka nama pemain yang di pegangnya.
Lagu untuk pemain :
Nenek, nenek, si bongkok tiga
Siang malam asyik berjaga
Mencari cucu di mana ada
Nenek ku kahwin dengan anak raja.

Lagu untuk 'nenek' :
Cucu, cucu, tak dapat lari
Nenek tua banyak sakti
Sekarang nenek nak cari ganti
Siapa yang dapat dia yang jadi.



Selain daripada permainan kecil ini, anda juga boleh melihat pelbagai jenis permainan tradisional lain di sini.



PUKUL BERAPA DATUK HARIMAU



Senarai keperluan :
  1. Bahan : Topeng muka
  2. Bilangan pemain : Bilangannya tidak terhad tetapi minimum 4 orang.
Cara bermain :
  1. Pilih seorang kanak-kanak menjadi 'Datuk harimau'.
  2. Kanak-kanak lain akan berdiri di belakang 'Datuk harimau'.
  3. Kanak-kanak yang berjalan di belkang akan berteriak ' Pukul berapa Datuk Harimau? '.
  4. 'Datuk Harimau' akan menjawab, 'Pukul 1' ataupun 'Pukul 4'.
  5. Apabila 'Datuk Harimau' menjawab 'Pukul......aku lapaaarrr!' dan ia segera menoleh ke belakang dan cuba menangkap kanak-kanak di belakangnya.
  6. Setiap kanak-kanak perlu lari bagi menyelamatkan diri.
  7. 'Datuk Harimau' boleh menangkap murid-murid pada bila-bila masa. Tidak semestinya hingga selesai pukul 12.
  8. Mereka yang ditangkap akan menjadi 'Datuk Harimau' di pusingan seterusnya.
  9. Permainan boleh diteruskan seberapa banyak pusingan. Pemain yang paling kerap kena tangkap dikira kalah.

BOLA DAN MONYET



Senarai keperluan :
  1. Bahan : Bola
  2. Tempat : Kawasan lapang.
Peraturan permainan : 
  • Apabila bola dapat ditangkap oleh monyet, orang yang mencampak bola kena menjadi monyet.
Cara bermain :
  1. Setiap kumpulan kanak-kanak terdapat 3 orang.
  2. 2 orang di depan dan belakang.
  3. Seorang di tengahnya sebagai monyet.
  4. Pemain akan mencampakkan bola pada rakan seorang lagi.
  5. Monyet di tengah cuba menangkapnya.
  6. Apabila monyet dapat menangkap, maka orang yang membaling bola tadi akan jadi sebagai monyet.
  7. Aktiviti boleh dilakukan dalam banyak kumpulan.




TANGKAP EKOR



Tujuan permainan :
  1. Cuba mengutip seberapa banyak ekor ( sapu tangan ) dan ekor sendiri tidak hilang.


Senarai keperluan :
  • Bahan atau peralatan : Sapu tangan atau tuala kecil
  • Tempat : Kawasan lapang.
  • Bilangan kanak-kanak : Tidak terhad.
Peraturan permainan :
  1. Pemain cuba menangkap ekor ( sapu tangan ) sebanyak mungkin dalam masa yang sama cuba mempertahankan ekor sendiri.
Cara bermain : 
  1. Semua kanak-kanak ada ekor daripada sapu tangan.
  2. Masing-masing cuba mendapatkan ekor lain dan mengumpul sebanyak mungkin.
  3. Sampai suatu masa, guru membunyikan wisel.
  4. Kira berapa banyak sapu tangan yang dikutip oleh setiap murid.
  5. Pengutip sapu tangan terbanyak adalah pemenang.
  6. Permainan ini boleh di ulang-ulang.