Wednesday 26 September 2012

PERMAINAN KECIL - PUKUL LALAT




Tujuan permainan :
  • Berlari dalam bulatan sambil mengejar dan memukul pemain lain dengan sapu tangan.
Senarai keperluan :
  1. Bahan : Sapu tangan.
  2. Bilangan pemain : Tidak terhad.
Cara bermain :
  1. Kanak-kanak membuat satu bulatan. Kemudian duduk mencangkung ke arah dalam bulatan.
  2. Seorang kanak-kanak di minta keluar secara sukarela ataupun dipilih untuk membawa sapu tangan.
  3. Pemain yang dipilih akan berdiri di luar bulatan sambil memegang sapu tangan.
  4. Pemain akan meletakkan sapu tangan itu dibelakang sesiapa sahaja yang berada di bulatan tanpa disedari. Orang itu dikenali sebagai mangsa.
  5. Pemain lain perlu sentiasa peka dan bersedia meraba belakang bagi memastikan sama ada sapu tangan berada dibelakang atau tidak.
  6. Apabila pemain B dapat menyentuh sapu tangan yang terdapat dibelakangnya, maka ia perlu segera bangun dan lari mengejar A sambil memukulnya.
  7. Pemain A pula perlu mencari tempat duduk secepat mungkin sebelum dapat dipukul oleh pemain B.
  8. Jika A belum sempat mencari tempat duduk dan terkena sapu tangan, maka A sekali lagi akan berlari mengelilingi bulatan semula sementara B akan duduk ditempat asal.
  9. Sebaliknya jika A berjaya mencari tempat duduk, B akan berpusing sekali lagi untuk meletakkan sapu tangan di belakang pemain lain.

KERUSI BERIRAMA



Tujuan permainan :
  • Pemain akan merebut kerusi apabila muzik berhenti.
Senarai keperluan :
  1. Bahan : Kerusi, Radio
  2. Bilangan pemain : Tidak terhad
Cara bermain :
  1. Kerusi akan disusun membentuk bulatan.
  2. Radio akan dimainkan sepanjang permainan dan akan ditamatkan berperingkat-peringkat.
  3. Pemain akan bergerak mengelilingi kerusi apabila muzik dimainkan.
  4. Pemain hendaklah lebih bilangannya daripada bilangan kerusi.
  5. Apabila muzik dihentikan, pemain akan segera merebut kerusi untuk duduk.
  6. Bagi pemain yang tidak mendpat tempat duduk, akan dikira mati dan hendaklah keluar daripada permainan.
  7. Permainan diteruskan sehingga tinggal 1 kerusi untuk direbut.

IBU AYAM DI KEJAR MUSANG



Senarai keperluan :
  • Bilangan pemain : Tidak terhad tetapi mesti lebih daripada 5 orang.
  • Bahan : Topeng muka.
  • Tempat : Kawasan lapang.
Cara bermain :
1. Ibu ayam akan meminta kunci rumah pada musang..
2. Selepas musang memberi kunci, ibu dan anak ayam pergi bersiar-siar.
3. Tiba-tiba kunci rumah hilang, ibu ayam pergi mencari musang untuk meminta kunci lagi.
4. Musang marah dan ingin seekor anak ayam sebagai ganti..
5. Musang merebut anak ayam yang berlindung di belakang ibu mereka.
6. Ibu ayam hendaklah menjaga anak-anaknya daripada direbut oleh musang.
7. Permainan tamat apabila musang dapat tangkap anak ayam.. 



NENEK-NENEK SI BONGKOK TIGA


Tujuan permainan :
  • Pemain yang matanya ditutup akan mencari pemain lain dan cuba meneka namanya.
Senarai keperluan :
  1. Bilangan pemain : Tidak terhad dan mesti lebih daripada empat orang. Lebih ramai lebih baik.
  2. Bahan :  
  • Lagu ' nenek, nenek, si bongkok tiga'.
  • Sehelai sapu tangan atau kain penutup mata.
  • Sebatang kayu sebagai tongkat.
  • Tempat : Kawasan lapang di dalam ataupun diluar rumah.
Peraturan :
  1. Penutup mata 'nenek' tidak boleh dibuka semasa meneka nama pemain.
  2. Pemain yang ditangkap tidak boleh melarikan diri semasa 'nenek' menekanya.
  3. Jika 'nenek' meneka nama pemain dengan betul, pemain itu akan jadi ganti 'nenek'.
  4. Pemain lain tidak dibenarkan memberitahu nama pemain yang ditangkap oleh 'nenek'.
Cara bermain :
  1. Pilih seorang pemain menjadi 'nenek'.
  2. Mata 'nenek' ditutup dengan sapu tangan atau kain penutup mata.
  3. Pemain lain membuat bulatan sambil berpegang tangan.
  4. 'Nenek' memegang tongkat dan berada di tengah bulatan.
  5. Pemain menyanyikan lagu sambil mengelilingi 'nenek'.
  6. Semasa pemain mengelilingi nenek sambil menyanyi, nenek hanya berdiam diri sambil menggerakkan tongkat dan membongkok-bongkok badan beraksi seperti orang tua.
  7. Selepas selesai menyanyi, pemain duduk mencangkung dan mendiamkan diri.
  8. 'Nenek' pula menyanyikan lagu.
  9. 'Nenek' akan meraba-raba mencari dan cuba menangkap pemain lain.
  10. 'Nenek' kena meneka nama pemain yang di pegangnya.
Lagu untuk pemain :
Nenek, nenek, si bongkok tiga
Siang malam asyik berjaga
Mencari cucu di mana ada
Nenek ku kahwin dengan anak raja.

Lagu untuk 'nenek' :
Cucu, cucu, tak dapat lari
Nenek tua banyak sakti
Sekarang nenek nak cari ganti
Siapa yang dapat dia yang jadi.



Selain daripada permainan kecil ini, anda juga boleh melihat pelbagai jenis permainan tradisional lain di sini.



PUKUL BERAPA DATUK HARIMAU



Senarai keperluan :
  1. Bahan : Topeng muka
  2. Bilangan pemain : Bilangannya tidak terhad tetapi minimum 4 orang.
Cara bermain :
  1. Pilih seorang kanak-kanak menjadi 'Datuk harimau'.
  2. Kanak-kanak lain akan berdiri di belakang 'Datuk harimau'.
  3. Kanak-kanak yang berjalan di belkang akan berteriak ' Pukul berapa Datuk Harimau? '.
  4. 'Datuk Harimau' akan menjawab, 'Pukul 1' ataupun 'Pukul 4'.
  5. Apabila 'Datuk Harimau' menjawab 'Pukul......aku lapaaarrr!' dan ia segera menoleh ke belakang dan cuba menangkap kanak-kanak di belakangnya.
  6. Setiap kanak-kanak perlu lari bagi menyelamatkan diri.
  7. 'Datuk Harimau' boleh menangkap murid-murid pada bila-bila masa. Tidak semestinya hingga selesai pukul 12.
  8. Mereka yang ditangkap akan menjadi 'Datuk Harimau' di pusingan seterusnya.
  9. Permainan boleh diteruskan seberapa banyak pusingan. Pemain yang paling kerap kena tangkap dikira kalah.

BOLA DAN MONYET



Senarai keperluan :
  1. Bahan : Bola
  2. Tempat : Kawasan lapang.
Peraturan permainan : 
  • Apabila bola dapat ditangkap oleh monyet, orang yang mencampak bola kena menjadi monyet.
Cara bermain :
  1. Setiap kumpulan kanak-kanak terdapat 3 orang.
  2. 2 orang di depan dan belakang.
  3. Seorang di tengahnya sebagai monyet.
  4. Pemain akan mencampakkan bola pada rakan seorang lagi.
  5. Monyet di tengah cuba menangkapnya.
  6. Apabila monyet dapat menangkap, maka orang yang membaling bola tadi akan jadi sebagai monyet.
  7. Aktiviti boleh dilakukan dalam banyak kumpulan.




TANGKAP EKOR



Tujuan permainan :
  1. Cuba mengutip seberapa banyak ekor ( sapu tangan ) dan ekor sendiri tidak hilang.


Senarai keperluan :
  • Bahan atau peralatan : Sapu tangan atau tuala kecil
  • Tempat : Kawasan lapang.
  • Bilangan kanak-kanak : Tidak terhad.
Peraturan permainan :
  1. Pemain cuba menangkap ekor ( sapu tangan ) sebanyak mungkin dalam masa yang sama cuba mempertahankan ekor sendiri.
Cara bermain : 
  1. Semua kanak-kanak ada ekor daripada sapu tangan.
  2. Masing-masing cuba mendapatkan ekor lain dan mengumpul sebanyak mungkin.
  3. Sampai suatu masa, guru membunyikan wisel.
  4. Kira berapa banyak sapu tangan yang dikutip oleh setiap murid.
  5. Pengutip sapu tangan terbanyak adalah pemenang.
  6. Permainan ini boleh di ulang-ulang.








IBU AYAM




Senarai keperluan :

  1. Bahan atau peralatan : Tiada
  2. Tempat : Kawasan lapang
  3. Bilangan kanak-kanak :
  • Seorang kanak-kanak menjadi seekor ibu ayam.
  • Seorang kanak-kanak menjadi seekor helang.
  • Anak tidak terhad bilangannya iaitu antara 2 hingga 10 orang.
Peraturan permainan :
Terdapat dua permainan utama ibu ayam dan helang. Ibu ayam akan cuba mempertahankan anak-anak daripada disambar helang.

Cara bermain :
  1. Anak-anak ayam perlu sentiasa berada di belakang ibu ayam bagi mengelakkan ia disambar helang sambil berbunyi , 'cip,cip,cip' bagi menunjukkan rasa takut.
  2. Apabila isyarat 'mula' ditunjukkan, helang hendaklah terbang dengan melakonkan aksi burung terbang dan cuba menyerang bagi menangkap anak ayam.
  3. Ibu ayam perlu melindungi anak-anaknya dengan cara mendepakan tangan sambil bergerak ke depan dan ke belakang seolah-olah hendak mematuk burung helang sambil berbunyi, 'kok,kok,kok' bagi menunjukkan ia marah..
  4. Apabila helang dapat menangkap anak ayam, maka anak ayam itu tidak lagi boleh bermain.
  5. Tukar kanak-kanak lain menjadi helang setiap kali helang yang bermain dalam permainan sebelumnya sudah dapat menangkap anak ayam.



Tuesday 25 September 2012

TUJU KASUT DAN BALING TIN



 

Tujuan : Kanak-kanak dapat memahirkan koordinasi mata dan tangan dalam permainan.

Senarai keperluan :
1. Kawasan lapang.
2. 2 pasang kasut atau 6 hingga 10 tin kosong.
3. Bola kecil.

Peraturan permainan :
1. Kanak-kanak perlu menjatuhkan kasut atau tin dengan 3 kali balingan sahaja.
2. Bola yang dibaling jika terkena kepada lawan, orang itu akan "mati".

Cara permainan :
1. Kanak-kanak di bahagi kepada 2 kumpulan.
2. Kumpulan yang pertama akan menjatuhkan kasut atau tin dan kumpulan kedua akan menjaga di belakang kasut atau tin.
3. Jika pemain dapat menjatuhkan kasut atau tin, mereka perlu menyusun kembali tin atau kasut tersebut ke susunan asal.
4. Manakala kumpulan kedua berusaha membaling bola supaya mengenai badan lawan supaya ahli "mati" sebelum mereka sempat menyusun kembali kasut atau tin tadi.
5. Jika mereka tidak sempat menyusun, permainan bertukar giliran.











SUSUP GELUNG ROTAN BERGANTI-GANTI





Tujuan : Kanak-kanak dapat menjulur dan menyusur.

Senarai keperluan : 

Tempat - Kawasan lapang
Bahan : Gelung rotan sebanyak 10 unit.

Peraturan permainan : 
1. Setiap kanak-kanak perlu menyusur dalam gelung rotan sehingga ke hujung garisan.
2. Orang yang seterusnya hanya boleh masuk ke gelung apabila orang sebelumnya sudah tamat menyusur.

Cara bermain : 
1. Buat 4 barisan, 2 barisan kanak-kanak tidak memegang gelung rotan dan 2 barisan kanak-kanak   memegang gelung rotan. Setiap barisan ada hingga 7 orang.
2. Barisan kanak-kanak dan pemegang gelung rotan berada didalam garisan bertentangan.
3. Apabila wisel di tiupkan, orang pertama akan berlari dan terus menyusur ke dalam gelung sehingga tamat.
4. Di ikuti dengan rakan seterusnya.

PERMAINAN CUIT BERANTAI





TUJUAN PERMAINAN
Menangkap seberapa banyak peserta yang dapat.

SENARAI KEPERLUAN
1. Bahan atau peralatan : Tiada
2. Tempat : Kawasan lapang
3. Bilangan kanak-kanak : Lebih daripada 3 orang

PERATURAN PERMAINAN
1. Siapa yang dicuit perlu masuk barisan.
2. Ahli dalam barisan boleh mencuit seberapa banyak asalkan barisan tidak putus.

CARA BERMAIN
1. Empat hingga Lima kanak-kanak berpegang tangan dalam barisan.
2. Mereka berlari dalam barisan mengejar pemain lain.
3. Hanya pemain hujung dan pangkal boleh mencuit kerana yang lain berpegang tangan.
 4. Apabila salah seorang yang dikejar dicuit, ia mesti masuk kedalam barisan.




PERIGI BERACUN






Senarai keperluan : 
1. Bahan atau peralatan - gelung rotan
2. Tempat - kawasan lapang
3. Bilangan kanak-kanak - 4 hingga 6 orang

Peraturan permainan : Mereka yang masuk ke dalam perigi ( gelung rotan ) semasa tarik menarik akan mati.

Cara bermain :
1. Buat beberapa kumpulan kecil yang mengandungi antara 4 hingga 6 orang kanak2.
2. Kanak2 berpegang tangan membentuk bulatan.
3. Mereka akan cuba menarik antara satu sama lain dalam bulatan.
4. Masing2 cuba mengelak daripada terpijak ataupun termasuk ke dalam bulatan.
5. Sesiapa yang terpijak ataupun terjatuh ke dalam bulatan dikira mati dan dikeluarkan daripada kumpulan.
( aktiviti boleh dijalankan dalam beberapa kumpulan serentak )



TARIK UPIH






Tujuan : Menarik rakan lain dengan upih pokok palma.

Senarai keperluan : 
1. Upih
2. Bilangan pemain 2 hingga 6

Cara-cara bermain : 
1. Seorang pemain yang bersaiz besar ataupun lebih kuat akan menarik upih.
2. 2 orang kanak2 lain akan duduk diatas upih dan mereka akan ditarik oleh pemain tadi. 

Faedah permainan : 
( aspek perkembangan emosi ) - Kanak2 belajar bekerjasama dan menunggu giliran untuk bermain.
( aspek perkembangan fizizkal) - Meningkatkan kebolehan motor kasar.

IKAN DALAM JARING






SENARAI KEPERLUAN
1. Bahan atau peralatan : Tiada
2. Tempat : 
a) Kawasan lapang.
b) Kolam ataupun laut yang dibina dengan menggunakan kapur ataupun tepung. Ambil Kapur dan lukis di atas lantai ataupun guna tepung dan taburkannya di atas rumput. Buat supaya berbentuk bulat.
3. Bilangan kanak-kanak : 20 hingga 25 kanak-kanak.

PERATURAN BERMAIN
Ikan dalam jaring perlu keluar daripada jaring sebanyak mungkin.

CARA BERMAIN
1. 10 hingga 15 kanak-kanak berpegang tangan dalam barisan memanjang menjadi jaring.
2. Jaring perlu berada di tepi kolam ataupun di tengah laut.
3. Separuh lagi kanak-kanak daripada kelas itu menjadi ikan.
4. Ikan perlu berada lebih kurang jarak 20 kaki daripada jaring. 
5. Kanak-kanak bergerak di dalam kawasan yang ditandakan sebagai kolam dan mereka beraksi seolah-olah sedang berenang.
6. Apabila isyarat 'mula' ataupun wisel dibunyikan, jaring cuba mengepung ikan.
7. Ikan itu boleh melepaskan dirinya dengan berlari menerobos jaris, melompat ke atas ataupun bawah jaring.
8. Ikan tidak boleh berenang keluar dari kawasan kolam.
9. Ikan yang ditangkap dan keluar dari kolam semasa permainan tidak boleh bermain lagi.
10. Ulang permainan dengan bertukar jaring menjadi ikan dan sebaliknya.

RUMAH TERBAKAR





Tujuan permainan : Kanak-kanak dapat memberi baldi kepada rakan dalam kumpulan supaya dapat menjadi ahli bomba.

Senarai keperluan 
  1. Bahan : Baldi air
  2. Bilangan pemain : Tidak terhad
Cara pemain :
  1. Kanak-kanak berpegangan tangan membentuk bulatan.
  2. Kemudian diminta tiga orang pemain keluar dari bulatan dan berdiri dibelakang sambil memegang baldi kosong.
  3. Pemain dalam bulatan akan duduk dan mendendangkan lagu :
  4. Pemain yang memegang baldi akan berlari mengelilingi bulatan.
  5. Apabila lagu tamat, ketiga-tiga pemain yang memegang baldi akan meletakkan baldi dibelakang mana-mana pemain yang duduk.
  6. Sesiapa yang mendapati baldi berada dibelakang mereka, perlu bangun dan mengambil baldi tadi.  Pemain yang sebelumnya akan duduk ditempat itu.
  7. Pemain akan menyanyikan semula lagu tersebut serta mengulangi langkah 3 hingga 6 untuk meneruskan permainan.
  8. Permainan boleh di ulang-ulang sehingga kesemua pemain yang duduk dapat menjadi ahli bomba.
 " Rumah Terbakar"
Rumah terbakar panggil bomba
Bomba datang berlumba-lumba
Anak kambing patah kaki
Mari cepat selamatkan diri.


JAMBATAN SUDAH ROBOH





Permainan ini merupakan satu permainan yang mudah dan senang dijalankan didalam kelas atau dimana sahaja kerana ia tidak memerlukan sebarang peralatan. Dalam permainan ini, kanak-kanak perlu dibahagikan kepada 2 kumpulan. 2 orang perlu menjadi jambatan dan rakan-rakan yang lain akan  menjadi mangsa kepada jambatan roboh.

Cara bermain: 

  1. 2 orang kanak-kanak akan menjadi jambatan dengan berpegangan tangan dan membuat seperti bentuk gerbang. Mereka akan menyanyikan lagu " jambatan sudah roboh, sudah roboh, sudah roboh........  Jambatan sudah roboh, sudah roboh, sudah roboh.....hari ini..."
  2. Pelajar yang berada didalam kumpulan lain akan melalui di bawah jambatan sepanjang nyanyian didendangkan.
  3. Selesai menyanyikan lagu ini, orang terakhir yang melalui dibawah jambatan ini akan di peluk menandakan dia adalah mangsa kepada jambatan roboh tadi.
  4. Pelajar yang dipeluk tadi hendaklah berada di belakang orang yang menjadi jambatan.
  5. Ulangi permainan sehingga semua menjadi mangsa jambatan roboh.

MINI BOLA BALING




Aspek perkembangan :
Permainan ini bertujuan untuk melatih kanak-kanak membaling dan menangkap bola.


Senarai keperluan : 
Bahan - kun, bola tenis, bakul dan gelung.
Tempat - Kawasan lapang.

Peraturan permainan : 
  1. 1 Pemain perlu memasukkan bola ke dalam bakul.
  2. Pemain lawan haruslah menghalang pasukan lawan dari memasukkan bola ke dalam bakul.

Cara bermain :
  1. Pemain perlu dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil.2. Setiap kumpulan terdapat 3 orang peserta.
  2. Sesi pertama permainan, hanya 2 kumpulan yang terlibat.
  3. 1 kumpulan akan menjaring bola ke dalam bakul manakala kumpulan lawan perlu menghalang dari kumpulan lawan menjaring bola.
  4. Kumpulan yang akan menjaring bola perlulah membaling bola kepada setiap rakan dalam kumpulan sehingga mereka berjaya memasukkan bola kedalam bakul. 
  5. 1 mata akan diberi kepada setiap jaringan.

Sunday 23 September 2012

LEMBU KENA KEPONG



 Tujuan Permainan :
Mengepung lembu supaya tidak keluar dari kandang.

Senarai Keperluan :
  1. Bahan atau peralatan : Tiada
  2. Tempat : Kawasan lapang
  3. Bilangan kanak-kanak : 5 hingga 10 orang
 Peraturan permainan :
Seekor lembu dikepung oleh sekumpulan kanak-kanak yang memegang tangan dalam bulatan. 

Cara bermain :
  1. Kelas di bahagikan kepada kumpulan kecil. Satu kumpulan lebih kurang 5 hingga 8 orang.
  2. Kanak-kanak memegang tangan membentuk bulatan. 
  3. Seorang kanak-kanak menjadi lembu duduk ditengah bulatan. Sambil beraksi dan bunyi seperti lembu, ' moo...moo...moo'.
  4. Lembu cuba keluar dari bulatan dengan menggunakan sebarang cara disukai.
  5. Apabila lembu dapat keluar, ganti dengan kanak-kanak lain untuk menjadi lembu secara sukarela.

Friday 7 September 2012

BURUNG DAN SANGKAR


Senarai keperluan :


  1. Bahan atau peralatan : Tiada atau gelung rotan.
  2. Tempat : Kawasan lapang 
  3. Bilangan kanak-kanak : Setiap kumpulan mengandungi tiga orang. Tiada had bilangan kumpulan.
Peraturan permainan : 
  1. Setiap kumpulan mengandungi tiga orang kanak-kanak. Dua menjadi sangkar dan seorang lagi menjadi burung.
  2. Setiap kali burung terbang keluar, mereka tidak boleh balik kesangkar asal mereka, sebaliknya, mereka perlu masuk kesangkar yang lain. 
Cara bermain.


  1. Dua orang kanak-kanak menghadap antara satu sama lain berpegang tangan untuk menjadi sarang.
  2. Seorang kanak-kanak lagi menjadi burung, berdiri di dalam sarang.
  3. Terdapat juga beberapa burung di luar sangkar yang tidak mempunyai sangkar.
  4. Apabila guru menyebut, 'burung terbang' ataupun membunyikan wisel. semua burung perlu terbang di luar sarang, termasuk burung yang tidak mempunyai sangkar.
  5. Apabila guru menyebut, 'burung pulang' ataupun membunyikan wisel, semua burung akan perlu mencari sangkar.
  6. Burung tidak boleh balik ke sangkar asal mereka dan mesti bertukar sangkar lain.
  7. Ulang permainan beberapa kali.
  8. Kanak-kanak yang menjadi sarang pula bertukar menjadi burung.

MAIN GETAH




Senarai keperluan :
Bahan atau Peralatan : Getah
Tempat : Kawasan lapang dan rata
Bilangan kanak-kanak : 5 orang

Cara bermain :
  1. Kanak-kanak diberikan sejumlah getah yang sama banyak bilangannya.
  2. Buatkan satu bulatan pada tempat bermain. Ia bertujuan untuk menandakan kawasan yang perlu di lontar getah.
  3. Kanak-kanak akan melontar hanya 1 getah pada setiap kali pusingan ke dalam kawasan permainan. Jika kanak-kanak dapat melontar getah di atas getah (menindih getah), kanak-kanak tersebut akan mengambil getah yang bertindih dan ini akan menjadikan bilangan getahnya bertambah. Dia juga diberi  peluang untuk melontar lagi getah.
  4. Bagi kanak-kanak yang kehabisan getah, dia dikehendaki keluar daripada permainan.
  5. Permainan diteruskan sehingga pemain kehabisan getah dan salah seorang akan mempunyai getah akan dikira sebagai pemenang.